Pages

Thursday, June 19, 2008

::artikel tak geram::

APABILA ada orang bertanya kepada saya tentang kenaikkan harga minyak baru-baru ini – saya berkata ianya memang bagus dan tepat pada masanya. Memang bagus kerana dengan pengurangan subsidi ini, maknanya kerajaan kita akan mempunyai lebihan wang sebanyak lebih kurang 14 billion setahun. Memang banyak nilai 14 billion. 1 billion bersamaan seribu juta. 1 juta bersamaan - senang cerita duit RM 100 sebanyak 10,000 keping.


Secara peribadi, dalam keadaan kerajaan kita yang begitu gigih melancarkan program untuk kesejahteraan rakyat melalui pelbagai koridor seperti ECER, NCER, WPI dan SCORE, saya merasakan kenaikkan petrol sehingga RM 2.70 masih terlalu rendah. Otak saya sentiasa berfikir, sudah cukupkah wang kerajaan dengan kenaikkan 78 sen ini?.


Saya cukup risau kalau-kalau kerajaan masih tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk mentadbir dan menguruskan negara ini dalam keadaan yang sedang cukup bermasalah sekarang samada dari segi ekonomi dan politik dan kewangan negara.


Saya juga risau, kalau-kalau pemimpin-pemimpin negara kita akan dipotong gaji dan elaun mereka lebih banyak selepas ini selepas pengumuman Pak Lah elaun para menteri, timbalan menteri, TPM malah PM sendiri akan dipotong sebanyak 10 peratus. Cukuplah dengan hanya rakyat sahaja yang perlu berkorban. Mereka sebagai pemimpin tidak seharusnya melakukan apa-apa pengorbanan.


Rakyat yang memilih mereka menjadi pemimpin, maka rakyatlah yang perlu berkorban. Saya juga cukup-cukup bimbang kalau-kalau pemimpin negara yang baru sahaja kita pilih ini akan menjalani hidup yang susah ekoran kenaikkan harga minyak yang khabarnya sedang menggila ekoran spekulasi negara kecil Israel akan menyerang Iran.


Bagi saya, biarlah rakyat berjalan kaki dengan selipar Jepun sekalipun, janji pemimpin yang kita pilih tadi dapat menaiki BMW, Mercedez ataupun paling-paling teruk pun AUDI keluaran terbaru. Malah, saya amat-amat takut kalau mereka terpaksa membuka tingkap kereta untuk mengurangkan kos penggunaan petrol kerana mereka tidak perlulah melakukan tindakan senekad itu.


Bukan apa, saya takut nanti kereta mewah yang mereka naiki akan cepat rosak sekiranya banyak terdedah kepada habuk apabila tingkap dibuka. Tambah-tambah lagi habuk-haprak dari baju atau seluar rakyat kebanyakkan yang bekerja buruh seperti saya.


Sudahlah selalu pakai selekeh, bau pula begitu semacam yang boleh mengakibatkan aksesori dalaman kereta mewah mereka akan cepat berkarat sekiranya selalu sangat berada berdekatan.


Sebab itulah saya berasa tidak gembira, gemar dan seronok kalau-kalau pemimpin yang sangat kita kasihi ini selalu bercampur-gaul dengan rakyat kebanyakkan kerana mungkin baju, seluar atau topi berjenama - yang berharga ribuan ringgit yang selalu mereka pakai akan sama berbau sebagaimana bau rakyat kebanyakkan.


Dan ini adalah amat bahaya sebenarnya kepada masa depan politik mereka kerana ianya secara langsung boleh menyebabkan mereka tidak lagi akan mendapat undi selepas ini terutamanya dalam menghadapi PRU ke 13 nanti.


Saya juga amat bimbang kalau-kalau isteri-isteri pemimpin kita selepas ini tidak lagi dapat membeli pokok-pokok bonsai yang berharga RM1 ribu setiap satu selepas kenaikkan harga minyak atau dapat membeli aksesori-aksesori rumah yang kosnya bersamaan dengan gaji selama berpuluh-puluh, malah beratus-ratus tahun bagi rakyat kebanyakkan atau rakyat biasa.


Sebab itulah RM 2.70 nilainya terlalu kecil sahaja. Malah saya merasakan nilai RM 5.55 sen seliter adalah paling berpatutan. Kenapa saya memilih angka 555?. Mudah sahaja kerana bunyinya kelihatan seperti buku 3-5. Maksudnya rakyat akan selama-lama nya hidup dalam keadaan yang sentiasa berhutang.


Kalau negara pengeluar Minyak seperti Venezuela boleh memberikan rakyatnya sebanyak 16 sen seliter, saya merasa amat kasihan dengan pemimpin mereka. Otak saya ligat berfikir ‘mungkinkah negara mereka akan bangkrap kerana memberikan rakyatnya 16 sen seliter?.


Mungkinkah pemimpin negara mereka akan menjadi miskin atau dapatkah nanti isteri-isteri mereka dapat membeli bonsai yang berharga RM 1 ribu atau lebih?. Mampukah negara mereka melaksanakan projek sebagaimana projek kebanggaan negara kita seperti ECER, NCER, WPI atau SCORE kalau mereka terus berdegil menjual minyak 16 sen seliter?


Saya menjadi begitu marah kepada negara Venezuela. Aparaaaa U ni Venezuela….Begitu juga dengan negara Iran yang menjual petrolnya sebanyak RM 0.29 sen seliter. Nigeria – RM 0.32 sen seliter. Arab Saudi RM 0.38 sen se liter. Kuwait RM 0.67 sense liter. UAE RM 1.19 sen seliter. Mesir RM 1.03 sen seliter. Brunei RM 2.03 sen seliter dan akhirnya Malaysia RM 2.70 sen se liter.


Yang menariknya –semua negara ini adalah pengeluar minyak yang aktif dan bukan sebagaimana Thailand, Indonesia ataupun Singapura yang bukan merupakan negara pengeluar minyak. Namun ketiga-tiga negara ini terpaksa menjadi ‘kambing hitam’ apabila selalu sahaja dijadikan perbandingan oleh Pak Lah dan konco-konconya setiap kali harga minyak dinaikkan.


Sebab itulah pada hemat saya, biarlah rakyat sahaja yang pecah kepala otak berfikir bagaimanakah caranya, bukan sahaja untuk menjimatkan petrol malah jimat segala-galanya.


-saya yang tidak geram, KLpos.com

0 comments: